Showing posts with label Darah Tali Pusat. Show all posts
Showing posts with label Darah Tali Pusat. Show all posts

Saturday, October 24, 2009

Petikan Laporan Berita Harian - Sel Stem


“Melayu kurang simpan sel stem”
“Mereka masih agak was-was mengenai perkhidmatan ini dan lebih suka basuh, tanam uri dan tali pusat selepas bayi dilahirkan.”


Assalamualaikum WBK,
Salam Sejahtera kepada rakan-rakan saya sekelian, ibu-bapa, bakal ibu-bapa, pengunjung dan pembaca blog ini. Kali ini Saya hanya menolong menyebarkan laporan wartawan akhbar Berita Harian yang dilaporkan baru-baru ini, sekiranya ada yang terlepas peluang membaca.

“Orang ramai terutama ibu bapa perlu membuang jauh-jauh sangkaan anak mereka tidak akan diserang penyakit bahaya seperti leukemia dan beranggapan mereka akan sihat sepanjang hayat. Jangan berbicara mengenai barah, bagaimana dengan penyakit kronik lain yang sering kelihatan menyerang kanak-kanak seperti celebral palsy atau talasemia?

“Ia tidak bermakna kita meminta anak mendapat penyakit tetapi jika itu berlaku, kita sudah bersedia menghadapinya. Jadi, tiada ruginya menyimpan darah tali pusat kerana besar manfaatnya kepada anak itu sendiri atau mungkin juga kepada adik beradiknya.

“Kemajuan pesat dalam bidang perubatan sudah menunjukkan kajian potensi bagi merawat penyakit seperti cerebral palsy dan diabetes type I dan sudah membuktikan penyakit seperti leukemia, talasemia serta anemia berpotensi dirawat menggunakan darah tali pusat,” tegas Pengarah Eksekutif Syarikat Bank Darah Tali Pusat Pertama, Prof Dr Aw Tar Choon.

Bagi tujuan itu, amat penting ibu bapa mendapatkan penerangan sejelas-jelasnya mengenai prosedur pengambilan dan penyimpanan darah tali pusat yang dijamin tidak menyakitkan, jauh sekali membahayakan ibu dan bayi.

Syarikat yang ditemubual adalah syarikat perbankan darah tali pusat pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2001. Ia juga syarikat swasta yang pertama menyediakan sel stem daripada darah tali pusat untuk pemindahan tulang sum-sum bagi tujuan rawatan leukemia pediatrik dan syarikat swasta yang pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan Institusi penyelidikan untuk mengkaji sel stem dewasa dari saluran darah untuk kegunaan dalam rawatan masalah berkaitan darah, sakit jantung, ulser kaki dan kecederaan serta trauma bersukan.

Syarikat Kami kini, katanya mempunyai lebih dari 30,000 pelanggan rakyat tempatan dan 10 peratus daripada jumlah itu ialah orang Islam.

“Saya sedar kebanyakan orang Melayu masih agak was-was mengenai perkara ini. Kebanyakan mereka membasuh dan menanam uri serta tali pusat selepas bayi dilahirkan. Namun kesedaran di kalangan mereka mengenai kebaikan menyimpan darah tali pusat semakin tinggi dan semakin ramai orang Melayu menggunakan khidmat kami termasuk golongan selebriti.

“Malah di Emiriah Arab Bersatu, bank darah tali pusat sudah ditubuhkan beberapa tahun lalu di Sharjah atas pembiayaan kerajaan,” katanya. Beliau juga berkata, orang Melayu perlu lebih prihatin mengenai perkara itu kerana kesukaran mendapatkan penderma bersesuaian jika berdepan masalah kesihatan

“Orang Cina misalnya boleh mencari penderma bersesuaian di Taiwan atau Amerika Syarikat tetapi orang Melayu sukar berbuat demikian. Sumber mereka agak terhad. Jadi, lebih baik bagi mereka membuat persediaan awal dengan menyimpan darah tali pusat.

“Malah dengan berlakunya perkahwinan campur dalam masyarakat kita, sewajarnya penyimpanan darah tali pusat perlu diberi pertimbangan serius,” katanya.

Prof Aw berkata, banyak faedah menyimpan darah tali pusat berbanding mengambil sel stem pada peringkat dewasa kerana selain selamat dan tidak menyakitkan, ia bebas daripada sebarang penyakit seperti Sistem Pernafasan Yang Teruk (SARS) atau influenza manakala risiko penolakan juga rendah.

“Orang dewasa yang tidak berkesempatan menyimpan darah tali pusat masih boleh menjalani kaedah pengambilan sel stem tetapi prosesnya panjang dan kosnya lebih tinggi.
“Jadi, untuk apa kita membazirkan wang jika kaedah penyimpanan darah tali pusat tersedia pada kos jauh lebih murah, kaedah pengambilan yang langsung tidak menyakitkan dan dijamin selamat.

“Jangan mensia-siakan kepesatan teknologi perubatan dengan mengambil ringan kepentingan menyimpan darah tali pusat. Jika tidak kerana anak sendiri, fikirkan apa ia boleh buat kepada orang lain.

“Bagi saya itu juga satu bentuk sumbangan kepada masyarakat. Kajian awal ke atas sel stem dewasa menunjukkan ia sudah hampir sampai ke peringkat mampu merawat penyakit hati dan kardiovaskular. Saintis masih berusaha keras menjalankan kajian lanjut sebelum boleh mengumumkan kejayaan mereka.

“Namun seperti saya tegaskan tadi, proses dahulu kala pengambilan sel stem dari tulang sum-sum adalah proses menyakitkan dan mahal. Darah tali pusat juga terbukti dapat memberi kesan sama dengan sel stem tulang sum-sum dalam merawat banyak penyakit berkaitan system darah kanak-kanak. Jadi, saya tidak nampak sebab untuk kita memandang remeh perkara ini,” katanya.


Syabas BH. Saya berharap pihak media akan sentiasa melaporkan perkembangan terkini dalam bidang sel stem yang rancak dipraktikkan di seluruh dunia.

Sekian buat masa ini.. Wslm.

Tuesday, September 01, 2009

Ibu-Bapa digalakan menderma atau menyimpan Darah Tali Pusat




Laporan dari seminar-seminar Sel Stem...........

Y.B. Dato’ Sri Liow Tiong Lai……Menteri Kesihatan Malaysia berkata.......
..”Ibu-Bapa digalakan menderma atau menyimpan DTP”........

Pengarah Pusat Darah Negara berkata...........
...”1 dari 85 menggunakan DTP dari Pusat Darah Negara”...

Assalamualaikum WBK,

Salam Sejahtera kepada rakan-rakan saya sekelian, ibu-bapa, bakal ibu-bapa, pengunjung dan pembaca blog ini.

Kali ini Saya ingin berkongsi pendapat dan mengulas apa yang telah dibentangkan oleh beberapa penceramah di seminar sel stem yang diadakan baru-baru ini. Satu di Kepala Batas Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia dan yang kedua di Hospital Ampang Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.


Di Kepala Batas, penceramah dari Pusat Darah Negara adalah pengarahnya Dr Norhanim Asidin. Beliau telah membentangkan pengalaman PDN dalam menjalankan operasi Bank Sel Stem Darah Tali Pusat Kerajaan. Setakat ini, kata beliau, PDN telah mendapat dermaan DTP dari lebih 6,000 ibu-bapa yang melahirkan bayi di Hospital Kuala Lumpur. PDN berjaya menyimpan lebih kurang 3,100 beg DTP. Ini adalah kerana masaalah kekurangan isipadu DTP dan pencemaran DTP oleh kuman.

Setakat ini, 85 permintaan DTP telah diterima oleh PDN. Satu (1) permintaan berjaya dipenuhi dimana DTP yang disimpan PDN digunapakai, Syabas PDN. Tetapi, hanya 1 permintaan berjaya dari 85 permintaan. Ini agak rendah. Apa terjadi pada 84 pesakit yang gagal mendapatkan DTP dari PDN? Selalunya mereka perlu mencari penderma sum-sum tulang tempatan atau penderma DTP dari bank DTP kerajaan luar Negara dimana harga perolehanya agak tinggi juga. Pada tahun 2006, Pengarah PDN pada masa itu Dato’ Dr Yasmin Ayob telah membuat kenyataan dalam akhbar tempatan dimana beliau menasihati ibu-bapa supaya menderma DTP. Pada masa itu, laporan akhbar menyatakan pihak PDN telah menyimpan lebih kurang 1,000 beg DTP, tetapi ada 17 kanak-kanak yang memerlukanya dan tidak dapat memperolehinya dari PDN. Masaalah yang dilaporkan adalah kesukaran untuk mendapatkan DTP yang sepadan genetiknya dengan pesakit. Jumlah penderma yang diperlukan dianggarkan dalam lingkungan 5,000 supaya kebarangkalian mendapat DTP yang sepadan adalah pada tahap yang agak bagus. Laporan juga telah menganggarkan kos memproses dan menyimpan Satu (1) beg DTP adalah RM3,000.

Apakah masaalah-masaalahnya? Sebabnya tidak dijelaskan dengan mendalam, tetapi pada pengetahuan saya, selalunya sebab-sebabnya termasuk kekurangan jumlah sel stem yang mencukupi bagi berat badan pesakit. Laporan dari beberapa institusi penyelidikan mengunakkan sekurang-kurangnya 20 juta sel bagi 1 kg berat badan pesakit. Jadi, bagi pesakit dengan berat badan 30 kg, pakar memerlukan sekurang-kurangnya 600 juta sel. Teknologi terkini membolehkan pengunaan 2 beg DTP supaya jumlah sel yang mencukupi dapat diberikan pada pesakit. Pada pendapat saya, masaalah yang lebih besar adalah kesukaran mendapatkan DTP yang sepadan diantara penderma dan pesakit. Inilah yang sering dilaporkan di bank-bank luar negara. Anggaranya adalah 1 dalam 20,000 atau 1 dalam 30,000. Ini bermakna, jika saya memerlukan sel stem darah, saya mungkin perlu mencari 30,000 rakan untuk diuji dan mungkin satu (1) akan sepadan dengan saya. Jika dia tidak ingin menderma kerana risikonya, saya perlu keluar mencari lagi. Ini akan mengambil masa yang agak lama juga.


Seminar yang dianjurkan pihak KKM adalah bertujuan untuk mengumumkan kepada orang-ramai apakah garispanduan yang disediakan oleh pihak KKM.

Pihak KKM telah melancarkan garispanduan dan piawaian bagi pengamal-pengamal rawatan sel stem. Dua (2) lagi garispanduan dan satu (1) lagi piawaian telah dilancarkan bersama-sama satu (1) piawaian DTP yang telah dikeluarkan awal tahun ini. Buku-buku yang dilancarkan adalah Garispanduan Penyelidikan dan Rawatan Sel Stem, Garispanduan Kebangsaan Rawatan Sel Stem Hemapoetik, Piawaian Kebangsaan Transplantasi, Pengumpulan, Pemprosesan, Simpanan dan Infusi Sel Stem Hemapoetik dan Sel Terapi.

Apa yang jelas dari garispanduan adalah rawatan Sel Stem Hemapoetik (sel stem darah) dan Transplantasi Sel Stem Darah Tali Pusat bagi penyakit berkaitan darah yang malignan dan yang bukan malignan seperti Lukimia, Limfoma, Myeloma, Talasemia, Anemia, Tumor Organ dan beberapa penyakit Metabolik Genetik Warisan dan Penyakit Kepincangan Sistem Imun adalah terbukti/biasa digunapakai.

Beberapa lagi kegunaan Sel Stem Hemapoetik masih lagi dalam peringkat penyelidikan iaitu dalam Menjana/Merawat Tisu, Penjanaan Saluran Darah seperti dalam masaalah luka kaki pesakit kencing manis, dan penyakit jantung dimana adanya saluran darah jantung yang tersumbat.

Apa yang jelas juga, penggunaan xenotransplant atau penggunaan sel haiwan seperti sel arnab, kambing dan sebagainya bagi rawatan penyakit manusia adalah dilarang. Saya pernah mendengar khabar bahawa beberapa doktor pakar swasta ada mengesyorkan penggunaan sel haiwan. Kini, dengan adanya garispanduan dan piawaian, pengamal-pengamal ini perlu berubah cara rawatan mereka. Anda sebagai pesakit/pengguna perlu melaporkan doktor ini kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Satu lagi jenis sel yang sering disebut-sebut baru-baru ini adalah sel MSC. Ia jelas dikelaskan dalam peringkat penyelidikan. Itu pun, potensinya dalam penyelidikan hanya terhad kepada penggunaanya dalam penyakit inflamasi dan dalam rejeksi tranplantasi. Sel-sel yang lain masih dalam peringkat ujikaji(experimental).

Sekian buat masa ini.. Wslm.

Friday, June 19, 2009

Pemindahan/Transplantasi Sel Stem - Hospital, Kos dan Sumbernya

Sumber Sel Stem penderma bukan adik-beradik?

Hospital selain dari PPUM yang boleh membuat pemindahan sel stem?

Kos pemindahan sel stem dan kos pendermaan sel stem?

Assalamualaikum WBK,

Salam Sejahtera kepada rakan-rakan saya sekelian, ibu-bapa, bakal ibu-bapa, pengunjung dan pembaca blog ini.

Kali ini Saya ingin menjawab beberapa soalan yang ditujukan oleh pembaca blog ini.


Pembaca juga boleh menghubungi Persatuan Thalassaemia di malaysiathalassaemia@yahoo.com dan melayari laman web mereka di www.tam.org.my.

Jika Doktor anda telah memutuskan untuk melakukan transplant/pemindahan sel stem menggunakan sel stem yang boleh didapati dari darah tali pusat atau pun dari penderma dewasa (sel stem sum-sum tulang yang mengalir melalui saluran darah) atau terus dari tulang (sel stem sum-sum tulang), pihak Hospital patut boleh membantu mengusahakanya. Mereka boleh berhubung dengan Pusat Darah Negara (PDN) Malaysia. PDN memang ada menyimpan sel stem darah tali pusat, masaalahnya adalah untuk mendapatkan sel stem yang sepadan atau serasi dengan anak anda. Kebarangkalian mendapatkan sumber yang sepadan adalah agak rendah. Ada yang menganggarkan sekadar 1 dalam 20 hingga 30 puloh ribu keatas (kurang dari 1 peratus).

Selain dari itu, pihak hospital patut boleh membantu mencari dari bank-bank sel stem kerajaan atau NGO luar negara. Sekali lagi masaalahnya adalah dalam mencari sel stem yang sepadan/serasi dengan pesakit.

Pembaca juga boleh berhubung dengan pihak Pusat Terapi Sel Stem Hospital UKM. Baru-baru ini Pakar Perunding Kanan Hematologi HUKM Profesor Doktor S. Fadilah Abdul Majid telah ditemuramah oleh Bernama TV. Beliau telah menerangkan bahawa HUKM ada menyimpan sel stem sum-sum tulang sumbernya dari saluran darah. Beliau juga telah menerangkan bahawa kebarangkalian untuk mendapatkan penderma bukan adik-beradik, yang serasi/sepadan dari sumber ini adalah 20 hinga 30 peratus.

Setakat yang saya lihat dalam Laporan Transplant Kebangsaan Malaysia, Hospital yang pernah melakukan transplant/pemindahan sel stem termasuk Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital UKM. Bagi hospital swasta pula saya difahamkan adalah Gleneagles Medical Centre Pulau Pinang, Lam Wah Ee Hospital Pulau Pinang, Sime Darby Medical Center Subang, dan Ampang Puteri KL.

Hospital-hospital ini pernah melakukan pemindahan sel stem. Pembaca perlu bertanya sama ada kesemuanya masih ada pakar yang berkhidmat dan mampu melakukanya. Apa yang berlainan adalah jenis penyakit yang dirawat. Ada yang pakar dalam penyakit dewasa dan ada yang pakar penyakit kanak-kanak. Ada juga yang pakar Talasemia dan ada pula yang pakar Lukimia.

Kosnya juga berbeza dan terpulang kepada jenis penyakit dan jenis rawatan. Apa yang telah diterbitkan adalah sekitar RM60,000 bagi Pusat Perubatan Universiti Malaya. Harga untuk mendapatkan sel stem darah tali pusat dari luar Negara adalah sekitar RM100,000.

Sekian buat masa ini.. Wslm.

Saturday, June 13, 2009

Sel Stem: Pengunaan - 1 dalam 200

Maklumat dari laman web www.parentsguidecordblood.org.…….
....Sel Stem Darah Tali Pusat Berupaya Menyelamatkan Nyawa….
….1 dalam 200 mungkin mengunakan Sel Stem Sendiri................

Assalamualaikum WBK,

Salam Sejahtera kepada rakan-rakan saya sekelian, ibu-bapa, bakal ibu-bapa, pengunjung dan pembaca blog ini.

Kali ini Saya ingin terjemahkan dan mengulas maklumat yang boleh didapati dalam laman web www.parentsguidecordblood.org.


Pertubuhan Parents Guide to Cord Blood adalah organisasi yang ditubuhkan bagi tujuan amal dan bukan untuk mencari keuntungan. Ia satu-satunya organisasi di Amerika Syarikat yang menerbitkan maklumat dari kedua-dua jenis bank, iaitu, bank darah tali pusat swasta dan bank kegunaan masyarakat umum. Semenjak tahun 1988 lagi, laman web organisasi ini telah menyediakan maklumat perubatan yang tepat bagi ibu-bapa dalam perihal perbankan/simpanan darah tali pusat.

Pengasasnya Doktor Frances Verter, adalah seorang ibu yang telah kehilangan anak kesayanganya kerana penyakit barah. Beliau juga seorang pakar sains, penyelidik, serta penulis dalam bidang simpanan sel stem darah tali pusat. Pertubuhan ini telah didedikasikan untuk anak kesayanganya.

Misi utama pertubuhan adalah dalam mengajar ibu-bapa dan memberikan maklumat tepat dalam bidang penyelidikan perubatan darah tali pusat, serta menjelaskan jenis-jenis simpanan darah tali pusat yang sedia ada.

Misi keduanya adalah dalam menjalankan serta menulis tentang analisis statistik dan data penyelidikan perubatan, serta perkembangan polisi yang mungkin membawa kepada peningkatan kegunaan darah tali pusat.

“Darah dalam tali pusat bayi berkemampuan untuk menyelamatkan nyawa. Apabila memilih untuk menyimpan darah tali pusat, ibu-bapa sebenarnya membekalkan potensi untuk menolong anak mereka, ahli keluarga, malah orang yang tidak dikenali. Beberapa daerah di Amerika Syarikat telah mengubalkan undang-undang dimana bakal ibu-bapa mesti diberi maklumat mengenai simpanan darah tali pusat.”

Definasi darah tali pusat adalah, darah yang diambil dari tali pusat selepas bayi dilahirkan. Dahulunya, bahan tingalan ini sering dibuang sebagai sisa buangan perubatan. Darah tali pusat mengandungi sejenis sel stem (sel ibu atau sel induk) yang mampu dibekukan untuk kegunaan masa hadapan bagi rawatan perubatan, seperti dalam rawatan transplantasi/pemindahan sel stem dan perubatan regenerasi.

Tali pusat dan uri adalah sumber yang kaya dengan sel stem. Ia berbeza dari sel stem embrio yang bermula dari telur yang telah dipersenyawakan, atau pun mana-mana sel stem yang didapati dari kanak-kanak atau dewasa. Sel stem darah tali pusat akan matang menjadi darah, sistem sel immun, dan berkebolehan untuk berubah manjadi sel-sel jenis lain.

Proses pengambilan darah tali pusat tidak membahayakan atau menyakitkan ibu atau bayi. Darah akan diambil dari tali pusat selepas bayi dilahirkan dan selepas tali pusat telah dikepit dan dipotong. Sel stem darah tali pusat masih mampu berkesan walaupun disimpan pada suhu bilik selama dua hari. Tempuh masa ini adalah cukup untuk menghantarkanya kepada makmal di bandar atau daerah/negeri lain. Di makmal, sel akan diproses dan dikrio-bekukan untuk disimpan. Setelah dibekukan, sel stem mampu berkesan walaupun selepas disimpan berpuluhan tahun.

Kini, jumlah peratusan pesakit yang dirawat dengan kaedah transplantasi sel stem semakin meningkat. Pesakit-pesakit telah menerima darah tali pusat untuk merawat lebih dari 70 jenis penyakit. Tujuh puluh peratus (70%) pesakit yang memerlukan sel stem pembina sistem darah bagi transplantasi, tidak berjaya mendapatkan penderma sel stem yang sepadan, dari kalangan keluarga. Maka, pakar perubatan perlu berusaha untuk mencari penderma dari bank-bank simpanan sel stem masyarakat umum. Program penderma sum-sum kebangsaan (National Marrow Donor Program - www.marrow.org), didedikasikan untuk mendapatkan penderma sum-sum, atau darah tali pusat, dari seluruh dunia, untuk kegunaan pesakit di Amerika Syarikat. Jumlah penderma sum-sum tulang yang sepadan bagi pesakit berketurunan etnik minoriti amat kekurangan. Penderma darah tali pusat mampu menolong pesakit berketurunan etnik minoriti dan pesakit berketurunan etnik campuran. Ini adalah kerana sel darah tali pusat tidak perlu sepadan sepenuhnya dengan pesakit, manakala sel sum-sum tulang dewasa pula perlu sepadan sepenuhnya.

Penyelidik perubatan sedang berusaha untuk menemui rawatan baru dimana sel stem mampu menolong dalam rawatan/pemulihan badan sendiri, ini digelar perubatan regenerasi. Setakat ini, rawatan ini memerlukan sel stem pesakit sendiri dan bukanya sel stem dari penderma. Bagi kanak-kanak yang mempunyai simpanan sel stem sendiri, mereka berpotensi untuk mendapatkan bermacam jenis rawatan perubatan pada masa hadapan. Setakat ini, penyelidik perubatan sedang menjalankan percubaan klinikal bagi penyakit ’Cerebral Palsy’ dan ’Diabetes Type 1’, dengan mengunakan darah tali pusat sendiri pesakit kanak-kanak.

Bagi kebanyakan penyakit seperti penyakit barah dan penyakit genetik, dimana kanak-kanak perlu menerima transplantasi sel stem, mereka memerlukan sel stem penderma, bukanya sel stem sendiri. Bagi transplantasi pesakit dewasa pula, pesakit yang mengunakan sel stem sendiri, sama banyaknya seperti pesakit yang mengunakan sel stem penderma.

Setakat ini, kebarangkalian pesakit mengunakan sel stem pembina sistem darah, bagi mana-mana jenis tranplantasi, dianggarkan 1 dalam 1,700 sebelum sampai umur 20 tahun. Manakala, sebelum umur mencecah 70 tahun, anggaran kegunaanya adalah 1 dalam 200. Pada masa hadapan, jika menjadi kebiasaan, dimana darah tali pusat digunakan bagi perubatan regenerasi, maka tahap kegunaan sel stem diri sendiri akan meningkat.

Sekian buat masa ini.. Wslm.