Saturday, June 13, 2009

Sel Stem: Pengunaan - 1 dalam 200

Maklumat dari laman web www.parentsguidecordblood.org.…….
....Sel Stem Darah Tali Pusat Berupaya Menyelamatkan Nyawa….
….1 dalam 200 mungkin mengunakan Sel Stem Sendiri................

Assalamualaikum WBK,

Salam Sejahtera kepada rakan-rakan saya sekelian, ibu-bapa, bakal ibu-bapa, pengunjung dan pembaca blog ini.

Kali ini Saya ingin terjemahkan dan mengulas maklumat yang boleh didapati dalam laman web www.parentsguidecordblood.org.


Pertubuhan Parents Guide to Cord Blood adalah organisasi yang ditubuhkan bagi tujuan amal dan bukan untuk mencari keuntungan. Ia satu-satunya organisasi di Amerika Syarikat yang menerbitkan maklumat dari kedua-dua jenis bank, iaitu, bank darah tali pusat swasta dan bank kegunaan masyarakat umum. Semenjak tahun 1988 lagi, laman web organisasi ini telah menyediakan maklumat perubatan yang tepat bagi ibu-bapa dalam perihal perbankan/simpanan darah tali pusat.

Pengasasnya Doktor Frances Verter, adalah seorang ibu yang telah kehilangan anak kesayanganya kerana penyakit barah. Beliau juga seorang pakar sains, penyelidik, serta penulis dalam bidang simpanan sel stem darah tali pusat. Pertubuhan ini telah didedikasikan untuk anak kesayanganya.

Misi utama pertubuhan adalah dalam mengajar ibu-bapa dan memberikan maklumat tepat dalam bidang penyelidikan perubatan darah tali pusat, serta menjelaskan jenis-jenis simpanan darah tali pusat yang sedia ada.

Misi keduanya adalah dalam menjalankan serta menulis tentang analisis statistik dan data penyelidikan perubatan, serta perkembangan polisi yang mungkin membawa kepada peningkatan kegunaan darah tali pusat.

“Darah dalam tali pusat bayi berkemampuan untuk menyelamatkan nyawa. Apabila memilih untuk menyimpan darah tali pusat, ibu-bapa sebenarnya membekalkan potensi untuk menolong anak mereka, ahli keluarga, malah orang yang tidak dikenali. Beberapa daerah di Amerika Syarikat telah mengubalkan undang-undang dimana bakal ibu-bapa mesti diberi maklumat mengenai simpanan darah tali pusat.”

Definasi darah tali pusat adalah, darah yang diambil dari tali pusat selepas bayi dilahirkan. Dahulunya, bahan tingalan ini sering dibuang sebagai sisa buangan perubatan. Darah tali pusat mengandungi sejenis sel stem (sel ibu atau sel induk) yang mampu dibekukan untuk kegunaan masa hadapan bagi rawatan perubatan, seperti dalam rawatan transplantasi/pemindahan sel stem dan perubatan regenerasi.

Tali pusat dan uri adalah sumber yang kaya dengan sel stem. Ia berbeza dari sel stem embrio yang bermula dari telur yang telah dipersenyawakan, atau pun mana-mana sel stem yang didapati dari kanak-kanak atau dewasa. Sel stem darah tali pusat akan matang menjadi darah, sistem sel immun, dan berkebolehan untuk berubah manjadi sel-sel jenis lain.

Proses pengambilan darah tali pusat tidak membahayakan atau menyakitkan ibu atau bayi. Darah akan diambil dari tali pusat selepas bayi dilahirkan dan selepas tali pusat telah dikepit dan dipotong. Sel stem darah tali pusat masih mampu berkesan walaupun disimpan pada suhu bilik selama dua hari. Tempuh masa ini adalah cukup untuk menghantarkanya kepada makmal di bandar atau daerah/negeri lain. Di makmal, sel akan diproses dan dikrio-bekukan untuk disimpan. Setelah dibekukan, sel stem mampu berkesan walaupun selepas disimpan berpuluhan tahun.

Kini, jumlah peratusan pesakit yang dirawat dengan kaedah transplantasi sel stem semakin meningkat. Pesakit-pesakit telah menerima darah tali pusat untuk merawat lebih dari 70 jenis penyakit. Tujuh puluh peratus (70%) pesakit yang memerlukan sel stem pembina sistem darah bagi transplantasi, tidak berjaya mendapatkan penderma sel stem yang sepadan, dari kalangan keluarga. Maka, pakar perubatan perlu berusaha untuk mencari penderma dari bank-bank simpanan sel stem masyarakat umum. Program penderma sum-sum kebangsaan (National Marrow Donor Program - www.marrow.org), didedikasikan untuk mendapatkan penderma sum-sum, atau darah tali pusat, dari seluruh dunia, untuk kegunaan pesakit di Amerika Syarikat. Jumlah penderma sum-sum tulang yang sepadan bagi pesakit berketurunan etnik minoriti amat kekurangan. Penderma darah tali pusat mampu menolong pesakit berketurunan etnik minoriti dan pesakit berketurunan etnik campuran. Ini adalah kerana sel darah tali pusat tidak perlu sepadan sepenuhnya dengan pesakit, manakala sel sum-sum tulang dewasa pula perlu sepadan sepenuhnya.

Penyelidik perubatan sedang berusaha untuk menemui rawatan baru dimana sel stem mampu menolong dalam rawatan/pemulihan badan sendiri, ini digelar perubatan regenerasi. Setakat ini, rawatan ini memerlukan sel stem pesakit sendiri dan bukanya sel stem dari penderma. Bagi kanak-kanak yang mempunyai simpanan sel stem sendiri, mereka berpotensi untuk mendapatkan bermacam jenis rawatan perubatan pada masa hadapan. Setakat ini, penyelidik perubatan sedang menjalankan percubaan klinikal bagi penyakit ’Cerebral Palsy’ dan ’Diabetes Type 1’, dengan mengunakan darah tali pusat sendiri pesakit kanak-kanak.

Bagi kebanyakan penyakit seperti penyakit barah dan penyakit genetik, dimana kanak-kanak perlu menerima transplantasi sel stem, mereka memerlukan sel stem penderma, bukanya sel stem sendiri. Bagi transplantasi pesakit dewasa pula, pesakit yang mengunakan sel stem sendiri, sama banyaknya seperti pesakit yang mengunakan sel stem penderma.

Setakat ini, kebarangkalian pesakit mengunakan sel stem pembina sistem darah, bagi mana-mana jenis tranplantasi, dianggarkan 1 dalam 1,700 sebelum sampai umur 20 tahun. Manakala, sebelum umur mencecah 70 tahun, anggaran kegunaanya adalah 1 dalam 200. Pada masa hadapan, jika menjadi kebiasaan, dimana darah tali pusat digunakan bagi perubatan regenerasi, maka tahap kegunaan sel stem diri sendiri akan meningkat.

Sekian buat masa ini.. Wslm.

No comments: