Friday, December 05, 2008

Sel Stem dan Statistik Transplantasi Darah Tali Pusat

Bolehkah Sel Stem Darah Tali Pusat Bayi Merawat Penyakit Thalassaemia Kakak/Abang?

Apakah Statistik Kegunaan Sel Stem Darah Tali Pusat?

Asalamualaikum,

Salam dan semoga Sihat Sejahtera.

Baru-baru ini Saya telah mendapat beberapa soalan mengenai kegunaan sel stem darah tali pusat bayi.

Untuk soalan pertama, pembaca perlu menjawab beberapa soalan. Adakah pesakit sedang berulang ke hospital untuk dirawat oleh pakar Thalassaemia? Jika tidak, mungkin keadaan mereka, setakat ini, belum memerlukan rawatan. Jika ya, pembaca perlu tekun menyoal dan menyaran pakar Thalassaemia supaya meneliti samada keadaan pesakit sudah menurun dan perlu dirawat dengan kaedah lain seperti sel stem?

Sel stem boleh didapati dari sum-sum tulang, tetapi tekniknya agak invasif. Cara yang lebih senang untuk mendapatkanya ialah dari darah tali pusat yang diambil semasa bayi dilahirkan. Kedua-dua sumber ini ada bezanya dari segi kematangan sel, kaedah penggunaan, risiko dan keberkesananya.

Sel stem darah tali pusat bayi, jika disimpan semasa bayi dilahirkan, memang besar potensinya untuk diggunakan. Tetapi, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Darah tali pusat mestilah mengandungi jumlah sel stem yang mencukupi, padanan HLA yang tinggi dan tidak berpenyakit.

Sel Stem dari bayi perlu sepadan (secara ujian darah HLA) dengan sel kakak atau abangnya. Jika separa sepadan atau sepadan sepenuhnya, memang ada potensi ianya digunakan untuk menolong merawat kakak atau abang. Sel stem juga perlu bebas dari Thalassaemia dan penyakit lain. Pakar Thalassaemia perlu memutuskan samada keadaan pesakit sudah kritikal dan memerlukan rawatan sel stem.

Proses pengambilan darah tali pusat perlu dilakukan semasa bayi dilahirkan. Sejurus selepas bayi dilahirkan, dan sebelum uri dilahirkan. Doktor di Hospital akan mengambil darah dari tali pusat. Prosesnya senang, seperti proses derma darah biasa. Ianya cepat dan tidak melukakan bayi atau ibu. Kami tidak mengambil tali pusat atau pun uri. Penggunaan sel stem darah tali pusat dalam perubatan boleh dilakukan tanpa keraguan kerana pihak JAKIM telah pun mengeluarkan Fatwa pada tahun 2002.

Kami akan membekukan dan menyimpan sel stem darah tali pusat ini untuk kegunaan bayi sendiri atau mungkin untuk kegunaan kakak atau abangnya dimasa hadapan.

Apabila Pakar Thalassaemia berpendapat rawatan susulan kakak/Abang memang diperlukan, dan sel stem dijangka boleh memberi kesan, pakar-pakar akan meminta supaya sel stem darah tali pusat yang disimpan dibawa ke hospital untuk digunakan.

Pesakit Thalassaemia juga mungkin boleh mendapatkan sel stem darah tali pusat dari pihak Bank Darah Kerajaan di Pusat Darah Negara, KL, http://www.pdn.moh.gov.my/.

Senangkah untuk mendapatkan sel stem ini?

Saya belum pernah melihat statistik di Malaysia yang boleh menolong untuk membuat anggaran tepat. Sel stem yang disimpan di PDN telah didermakan. Agak sukar untuk membuat anggaran samada sel stem, yang sepadan dengan pesakit, boleh didapati dengan senang di Bank Darah Kerajaan atau pun tidak.

Saya pernah membaca di akhbar New Straits Times, 14 Ogos 2006, yang melaporkan pada masa itu, terdapat 17 kanak-kanak yang memerlukan transplantasi sel stem tetapi terpaksa menunggu untuk mendapatkan sel stem dengan padanan yang sesuai. Wartawan juga melaporkan bahawa ada yang tidak dapat menunggu dan tidak dapat diselamatkan walaupun Pusat Darah Negara telah menyimpan lebih kurang 1,000 beg sel stem darah tali pusat.

Jumlah itu, dari segi statistik, terlalu rendah untuk membekalkan darah tali pusat bagi pesakit yang memerlukanya. Ada beberapa anggaran yang sering disebut di laman web-laman web bank darah tali pusat. Anggaran untuk mendapatkan sel stem, bukan dari keluarga sendiri, yang sepadan dengan pesakit adalah dalam lingkungan 1 dalam 20,000. Dengan statistik kebarangkalian padanan yang amat rendah ini, peluang 17 kanak-kanak itu kelihatan agak tipis. Alternatif lain perlu di usahakan. Sebab itulah, kita sering dapat membaca dalam akhbar-akhbar tempatan pesakit-pesakit merayu untuk mendapatkan dermaan sel stem. Sebab itulah juga mengapa ramai pelanggan kami menyimpan sel stem sendiri bagi kegunaan keluarga sendiri.

Pembaca juga boleh layari laman web Persatuan Transplantasi Malaysia http://www.mst.org.my/, dimana terdapat Senarai Transplantasi Kebangsaan. Laporan itu menunjukkan setakat tahun 2006, 1174 pesakit telah menggunakkan sel stem dimana 50 telah menggunakkan samada sel stem darah tali pusat sahaja ataupun dengan tambahan sel stem yang didapati dari sum-sum tulang.

Setakat ini Syarikat StemLife Berhad telah menyimpan sel stem darah tali pusat untuk lebih dari 23,000 pelanggan. Empat (4) pelanggan kami telah berjaya menggunakan sel stem darah tali pusat mereka samada untuk abang, kakak atau adik mereka dalam menolong merawat penyakit Leukaemia dan Thalassaemia. Satu (1) telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan tiga (3) di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Pembaca juga disyorkan untuk melayari laman web http://www.parentsguidecordblood.com/ dan http://www.apcbbc.org/ untuk mendapatkan statistik simpanan/kegunaan di seluruh dunia dan di rantau Asia Pasifik. Laman web yang kedua ada membentangkan jumlah simpanan ahli-ahli persatuan iaitu bank-bank sel stem darah tali pusat terkemuka di rantau Asia Pasifik yang pada masa ini dipengerusikan oleh Pengarah Urusan StemLife Berhad.

Saya harap telah dapat menjawab beberapa soalan anda. Jika jawapan yang lebih terperinci diperlukan, sila hantarkan nombor anda kepada info@stemlife.com dan kami boleh menghubungi anda untuk memberi maklumat yang lebih mendalam lagi.

Sekian buat masa ini......Wslm..WBK.......................

No comments: